Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Khamis, 18 Jun 2015

Sebaik-baik Perancang Itu adalah Perancang Illahi



Taraaa ...!!!!

Mesti ramai yang terkejut bila lihat gambar ni kan? Betul apa yang korang tengok tu. Itu adalah gambar terbaru saya. Alhamdulillah.... Saya kini sah bergelar tunangan Mohammad Azman bin Mohd Nawi. Siapa tu? Nanti saya cerita panjang-panjang ye siapa dia, macam mana kami berkenalan dan macam mana kami akhirnya sampai ke tahap ni. 

Jujur saya katakan, sehingga ke hari ini saya masih belum percaya yang saya kini tunang kepada seseorang. Semuanya berlaku dengan pantas. Tapi saya sangat-sangat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. 

Banyak keajaiban yang berlaku sekarang bila kita redha dengan sesuatu musibah yang berlaku dalam hidup kita. Percaya tak kalau saya katakan majlis pertunangan kami dirancang dalam masa 3 hari sahaja? Ya! Itu yang terjadi sebenarnya. 

Akibat pada kekangan masa si dia, keputusan yang dibuat berlaku serta merta. Kami pun buat persiapan dalam masa 3 hari. Tiada masalah pada pihak lelaki kerana tiada banyak persiapan yang perlu dibuat tapi pada pihak kami, huru hara dibuatnya.

Kebetulan pada hari dimana si dia menelefon ibu untuk datang merisik, kami sekeluarga berada dikampung Kuala Pilah kerana sepupu saya baru sahaja meninggal dunia. Kami sekeluarga masih sedih tapi bila ketua keluarga bagi 'green light', rancangan diteruskan. Saya sendiri tidak tahu sebenarnya tentang 'green light' tersebut, jadi saya terkejut bila semua ahli keluarga datang pada saya dan cakap 'tahniah'. Whats app group juga meluru-luru masuk ucapan tahniah. So, bermulalah persiapan kami sekeluarga.

Hari Pertama

Saya mula berbincang dengan ibu saudara saya apa yang perlu disiapkan untuk majlis itu nanti. Ibu dan ayah saya hanya menguruskan hal makan minum tetamu sahaja. Kami tetapkan tema pada hari majlis. Nak tahu tak apa temanya? Memang lain dari lain. Tak pernah saya dengar sesiapa buat lagi tema ni. Temanya adalah TEMA JIMAT. Haa. Nampak?? Hahaha. 

Saya tidak berhasrat menyewa baju atau pelamin untuk majlis itu nanti. Tapi saya hanya berhasrat untuk membuat satu ruang untuk kami bergambar. Saya tak mahu nanti gambar kenang-kenangan kami ada budak-budak berlari-lari dibelakang atau lebih tepat lagi 'photo bomb'. 

Okay. Saya bagi contoh kat bawah ni gambar yang dikatakan 'photo bomb'

 lagi satu! 


Nampak macam kelakar kan? Oleh sebab itulah, saya nasihatkan pada mana-mana pasangan yang nak jimat kos, tak nak pelamin bagai, saya sarankan anda buat satu ruang untuk bergambar. Cuma letakkan tirai, letak bunga hiasan rumah mak kita depan ruang tamu tu kiri kanan pun dah memadai. Okay, habis bab pelamin.

Hari Kedua

Hari kedua pula kami keluar mencari barang-barang hiasan 'pelamin', hiasan hantaran dan lain-lain lagi lah. Saya sememangnya seorang yang berpegang kepada rezeki untuk kita buat sesuatu yang baik itu memang telah ditetapkan. Hantaran kami 5 berbalas 7 dulang. Sebenarnya saya tak berapa gemar dengan hantaran tapi saya anggapnya sebagai hadiah dari pihak sana ke pihak kami dan sebaliknya. Setiap dulang hantaran kami itu ditaja sepenuhnya oleh kaum keluarga. Rezeki kan? Alhamdulillah... saya tak keluarkan satu sen pun untuk hantaran. Semoga tuhan membalas keikhlasan kalian semua. Amin. Memang kena dengan tema jimat saya. 

Selepas itu kami berjalan-jalan lagi, terjumpa satu baju kurung yang sangat cantik. Saya memang berat untuk membeli tapi bila ayah saya sendiri bertanya, adakah saya tak kisah meminjam baju saudara mara untuk hari bersejarah saya, saya mengalah. Tambahan pula baju itu boleh saya gunakan untuk Hari Raya yang akan datang. Baju pun tak lebih harga RM 150. Selesai bab baju dan tudung.

Hari Ketiga

Oleh kerana kami baru sahaja berkenalan, si dia tidak tahu saiz jari saya untuk membeli cincin, jadi keluarga si dia memutuskan untuk hanya memberi sejumlah wang dan saya perlu membelinya sendiri. Pada saya itu lebih mudah memandangkan kampung kami berdua tersangatlah jauh untuk dia berulang alik membuat persiapan. Saya ke kedai emas bersama mak teh saya dan kawan dari kecil saya, Juliyati. Pada masa itu kalau tak silap saya emas masih di harga yang tinggi iaitu RM 164/gram. Agak tinggi kos nya bila perlu membeli dua bentuk cincin. Kalau boleh saya hanya mahukan sebentuk cincin tapi atas kehendak keluarga yang mahu kami mengikut adat, saya mengalah. Saya membeli dua bentuk cincin dengan harga hanya RM 500 sahaja. Kedua-dua cincin tersebut adalah berat dalam 2. ++ gram sebentuk. Saya tak pilih cincin yang ada permata, hanya berukiran sahaja bagi menjimatkan kos. Saya pun tak mahu membebankan si dia. Saya yang akan berkongsi hidup dengan si dia, saya tak mahu kami berhutang selepas majlis. 

Pada malamnya, suasana rumah mula bertukar riuh rendah saudara mara, jiran tetangga. Saya bersama kawan-kawan dan sepupu mula menyiapkan ruang pelamin yang serba sederhana. Sayalah yang turun naik panjat tangga ikat langsir apa semua. Sampai jiran-jiran marah. Dia kata orang tengah darah manis buat kerja macam orang lelaki. 

Pada ketika kami sibuk-sibuk tu,  satu kejutan buat saya bila sepupu saya di Johor yang tidak dapat turut sama meraikan hari bersejarah saya menaja barang-barang hiasan pelamin saya. Dari situlah terjadinya sebuah pelamin yang lengkap. Alhamdulillah. Rezeki lagi. 

Hari Majlis

         Akhirnya hari yang dinanti pun tiba. Saya bangun awal pagi bersarapan bersama kaum keluarga, membantu kerja-kerja didapur serba sedikit. Betul kata orang, kita perlu merancang majlis betul-betul. Diakhir-akhir nanti, pasti terlihat kekurangannya. Pagi itu kami ke kedai pelamin lagi membeli beberapa hiasan untuk hantaran. Tudung yang pada mulanya saya beli itu tidak bersesuaian pula dengan baju. Saya keluar lagi sekali membeli yang baru. Sehinggakan pemilik kedai pelamin itu ketawa bila mengetahui saya yang akan diraikan pada hari tersebut tapi saya masih lagi keluar membawa mak cik saya membeli barang. Maklumlah semuanya sedang sibuk. 

            Majlis dijadualkan selepas zohor. Saya mula make up jam 11.30 pagi. Mak andam saya adalah ibu saudara kawan saya sendiri, Juliyati. Dia hanya mengambil upah sebanyak RM 100. Tengah-tengah make up, saya jadi lapar. Orang kata, pada hari majlis kita tak akan ada selera nak makan tapi terbalik pula dengan saya. Berulang kali pulak tu saya makan. 

Ramai yang tanya macam mana perasaan saya hari itu. Pada mulanya memang saya tidak merasa apa-apa. Saya hanya merasa berdebar bila saya dipanggil turun untuk menyarungkan cincin. Masa itu nak gugur rasanya sebab semua mata melihat kita. Mujur ada teman baik saya yang datang menemani saya. Dia ajak saya berbual untuk menghilangkan gemuruh. 



    
         Selesai sudah majlis pertunangan saya. Alhamdulillah. Saya sangat-sangat bersyukur. Terima kasih kedua-dua belah pihak. Keluarga si dia yang datang dari jauh. Kaum keluarga saya yang bertungkus lumus demi menjayakan majlis ini. Terima kasih banyak-banyak. Terluah dengan kata-kata bagaimana saya menghargai kalian semua. 

           Semoga kita berjumpa lagi di lain masa. Saya perlu bersiap kerana pada pukul 3 petang ini saya akan menghadiri temuduga kerja yang akan ditemani oleh Encik Tunang saya yang sentiasa bersama saya susah dan senang saya dan menerima saya baik dan buruk. Doakan saya berjaya. :)




Jumaat, 13 Mac 2015

SELAMAT TINGGAL, KENANGAN

Selamat tinggal, kenangan.
Selamatlah kau bersemadi dihati ini.
Usah munculkan dirimu lagi.
Aku kini sudah kembali. 

Selamat tinggal, kenangan.
Kau masa silam bukan masa depan.
Pergilah jauh, usah kau toleh belakang.
Aku kini sudah melangkah jauh ke hadapan.


Bismillahirrahmanirrahim....
Dengan bangganya disini, saya isytiharkan saya kini sudah bebas dari kenangan. Mungkin tiada siapa yang  pedulikannya tapi saya bangga dengan diri saya sendiri. Seorang gadis yang bertahun-tahun diselubungi peristiwa hitam dalam hidup tapi kini sudah mampu tersenyum mengenang kisah silap. Bila diingat beberapa tahun lepas, saya tidak mampu mengenang satu pun kenangan bersama arwah. Pasti bergenang air mata ini. Tapi tidak lagi kini.

Berbaloi sungguh pengorbanan saya demi untuk mengangkat diri sendiri bangun tanpa bantuan orang lain. Salah satu cara yang saya lakukan adalah dengan membuang segala kenangan-kenangan bersama arwah. Gambar, cincin, hadiah-hadiah arwah, satu pun tiada dalam simpanan saya. Memang perit pada permulaannya tapi saya yakin pada hikmah Allah Taala. Dan kini saya rasa manisnya keredhaan dan manisnya hikmah disebalik semua yang terjadi 4 tahun yang lalu.

Saya berjumpa dengan pelbagai jenis manusia yang banyak mendewasakan pemikiran saya. Manusia yang datang dan pergi. Saya mula mengenali mana kawan, mana lawan. Saya kini mampu menilai buruk baiknya apa yang saya hadap sekarang dan in sha Allah dimasa akan datang.

Rabu, 25 Jun 2014

Siapa kita dihati anak-anak?

Bismillah, pembuka bicara. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Sembah dan salam kehadrat junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Alhamdulillah. Masih lagi diberi kesempatan mencoretkan sesuatu didinding ini sebagai pengganti hati ini. Setiap insani di atas muka bumi ini memerlukan sesuatu atau seseorang bagi ia meluah apa yang terjadi dalam hidupnya.

Ada yang memilih untuk menceritakan pada seseorang. Ada yang memilih untuk berdiam diri namun bahaya tetap ada dalam kedua-dua situasi.

Apabila kita meluah pada orang sekeliling, kita sendiri tidak tahu sampai bilakah ia akan tetap menjadi simpanannya. Manusia mempunyai hati yang berbolak balik. Pendiriannya tidak tetap. Baik didepan, belum tentu baik dibelakang. Ahli keluarga belum tentu menjadi peti kebal rahsia kita. Sehingga kita sendiri tidak tahu siapa yang perlu dipercayai didunia ini.

Bila meluah pada ibu bapa, persaingan akan wujud antara adik beradik. Tak dinafikan setiap keluarga akan mengalami situasi ini. Oleh kerana itu, ada pertelingkahan atau pemberontakan dalam jiwa anak-anak. Manusia mana yang sempurna? Ibu bapa belum tentu mampu adil dengan kesemua anak-anaknya. Cuma yang pasti mereka melakukan sehabis baik. Tapi dipenghujungnya pasti ada yang terluka.

Rasulullah saw mengajar kita menjadi seorang kawan kepada anak-anak bila sampai waktunya. Bukan sahaja untuk mendengar tapi bertanya. Lain anak, lain ragamnya.

Bila luah pada kawan-kawan, persoalan yang pasti muncul, 'Adakah kata-kata ini akan terus ke telinganya tanpa perlu persinggahan dibibirnya?' Mungkin apabila menjadi keperluannya sahaja atau berubah apabila dihatinya sudah terpalit warna hitam. Apabila mereka-mereka ini sudah mempercayai orang luar, pasti ada yang tak kena pada keluarga itu. Bukan untuk menyalahkan ibu bapa tetapi berilah sedikit ruang dan waktu supaya golongan ini merasa apa yang tidak pernah dirasainya. Golongan ini sebenarnya sangat memohon diberi kesempatan oleh ibu bapanya untuk menajdi teman yang setia seperti teman-teman yang lain. Dimana ibu mereka bertanya, 'Macam mana sekolah hari ni?', 'Dekat sekolah tadi makan apa?', 'Kawan-kawan macam mana?'. Apabila perkara ini terjadi, percayalah ibu bapa semua, kalian didalam bahaya. Anak-anak akan mudah terpengaruh dengan perkara yang belum tentu baiknya.

Ada juga yang memilih untuk menulis. Seseorang yang sentiasa memegang pen dan kertas inilah insan yang sentiasa terluka. Dihatinya sentiasa dirundung sepi. Matanya sentiasa berkaca. Seseorang yang sentiasa mahukan kedamaian. Malang sungguh nasib si dia ini. Tiada lagi seseorang yang dipercayainya. Hilang sudah tempat meluah. Tiada siapa memahaminya. Bagi golongan ini, hanya dirinya sahaja yang mampu menjadi teman terbaik. Kadang-kadang orang sekeliling melihat dia sebagai anti sosial, tak berkawan. Tapi ketahuilah bahawa golongan ini sangat menjaga dirinya. Dia tidak mahu terjebak dengan adegan-adegan mengumpat mak cik sebelah rumah, tidak mahu orang ramai melihat dia seorang yang terbuka. Biar ada rasa malu pada orang sekeliling bila berdepan dengannya.

Karakter-karakter ini diolah berdasarkan pemerhatian saya semata-mata. Saya tidak pernah mendalami ilmu psikologi manusia walaupun memang itu impian saya sejak dibangku sekolah. Jika ada kesilapan, mohon dimaafkan. Saya hanya penulis naif yang hanya mampu berkata apabila terlintas.

Isnin, 14 Oktober 2013

Amarah

Benar kata pujangga,
Amarah akan memusnahkan diri.
Kerana itulah, sabar itu separuh daripada iman.

Amarah seperti air haram yang masuk ke dalam badan manusia.
Mampu membuat insani hilang kawalan diri,
Mampu membuat insani lupa dengan siapa ia berhadapan.

Kata-kata hasil dari amarah itu mampu merosakkan.
Yang rapat menjadi renggang,
Yang renggang bertambah jauh.

Mulut sememangnya mudah menyambut kemaafan.
Namun parut yang ditinggalkan akan berbekas selamanya.
Lebih parah jika gusi dan lidah berat untuk mengungkap maaf.

Seseorang itu mungkin berdiam
Namun dihatinya? 

Luka mungkin sembuh dek masa,
Tetapi parut akan tetap disitu selamanya.


Khamis, 14 Februari 2013

Aku Tahu Mengapa Burung Didalam Sangkar Menyanyi


Aku tahu perasaan burung didalam sangkar
Bila matahari terang benderang diseberang bukit sana,
Bila angin sepoi didedaunan hijau,
Dan sungai deras jernih ibarat kaca.
Bila bersiulnya burung lain,
Dan kembang putik berbunga,
Dan wangianya memukau,
Aku tahu apa perasaan burung didalam sangkar.

Aku tahu mengapa burung didalam sangkar mengibarkan sayapnya,
Sehingga cedera, luka berdarah pada besi,
Ia perlu pulang ke batang sangkar dan bergayut,
Kala lena, itu jua tempat jantungnya berdenyut.
Perih dan parut lama pasti ia ingat,
Aku tahu mengapa burung didalam sangkar kibarkan sayapnya.

Aku tahu mengapa burung didalam sangkar menyanyi.
Sayapnya luka dan punggungnya letih,
Bila bersiul maka bebaslah,
Bukan lagu gembira atau lagu untuk menari,
Tetapi doa dari dalam lubuk hati,
Mohon kepadaNya ia terbang kembali,
Aku tahu mengapa burung didalam sangkar menyanyi.

Ahad, 10 Februari 2013

Perginya Dia -Part 2-



Seperti semua sedia maklum, entri kedua ini adalah kesinambungan entri Perginya dia -Part 1-.
Saya ingin meluahkan segalanya disini.
Izinkan saya....

Pemergian arwah membuatkan saya sedar betapa perlunya kita menjaga hati orang tua.
Walaupun permintaan mereka hanyalah sebesar zarah, 
sebagai anak, kita harus memenuhinya jika mampu.
Ayah saya sudah menjadi anak yang terbaik untuk arwah.
Walaupun ayah hanyalah anak tiri arwah.
Permintaan arwah untuk bercuti di tepi pantai telahpun ayah penuhi setahun yang lalu.
Arwah sememangnya mencintai suasana yang tenang dan damai.
Ayah telah membawa arwah ke Cherating untuk bercuti di tepi pantai.
Kami menginap untuk 3 hari 2 malam. 
Pada malamnya kami berjalan ke tepi pantai mencari udang. 
Seronok bila kita dapat memenuhi permintaan seseorang.

Lebih kurang dua minggu sebelum arwah meninggal, 
ayah bawa arwah ke Pekan, Pahang untuk melihat kubur susur galur keturunan arwah yang berada disana.
Lama juga arwah menyatakan hasratnya untuk ke Pekan.
Tercapai juga akhirnya. 
Alhamdulillah.... Ayah saya memang anak yang baik.
Semoga saya juga mampu untuk menjadi anak seperti ayah saya. 

Terlalu banyak kenangan bersama arwah.
Masa kecil-kecil dulu, saya selalu minta telur separuh masak dan teh o panas dan diletakkan didalam piring.
Saya akan hirup air tersebut sehingga habis.
Barulah saya akan ke sekolah tadika.

Jika ada kelapangan pula, saya akan mengikut arwah ke ladang.
Dengan moto buruk Honda Cup bulat arwah, saya akan duduk didalam raga sambil menyanyi.
Sewaktu arwah kait buah sawit, 
saya akan memakai sarung tangan dan bawa raga ke hulu hilir
mencari buah sawit yang lerai.
Kenangan tu selalu saya sebut-sebut depan arwah ketika hayatnya.

Arwah sememangnya seorang yang suka bercerita.
Saya suka mendengar cerita zaman-zaman dulu dari arwah.
Walaupun sebenarnya itu cerita yang sama arwah cerita setiap kali balik kampung.
Tapi saya dan adik-adik tetap buat-buat tak tahu.

Saya bertuah kerana mempunyai atok yang penyayang seperti arwah.
Arwah selalu bertanya soal pelajaran kami adik beradik.
Kasih sayang arwah yang tak ada belah baginya.
Apa sahaja yang kami pilih, arwah akan sokong.

Adik lelaki saya sememangnya aktif bermain bola.
Arwah pula seorang yang tak menggemari bola.
Apabila adik saya dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak pada satu kejohanan futsal,
saya beria-ia menceritakan pada arwah dan arwah cukup berbangga dengan adik saya.
Arwah membelikan kasit bola yang baru untuk adik saya.
Arwah sendiri yang mahu ke Al-Ikhsan untuk memilih.
Semuanya gara-gara bimbang ayah akan membeli kasut yang murah untuk cucu lelakinya itu.

Sayu hati bila saya masih lagi tersasul menyebut nama arwah.
Paling menyayat hati bila nenek perasan yang saya masih tak lupakan arwah atok.
" Kakak ingat atok lagi ya?"
Saya hanya diam. Tak mahu menambah lara nenek.

Saya balik ke kampung beberapa hari selepas arwah meninggal.
Mengemas bilik arwah dengan penuh air mata.
Kereta arwah yang diparkir didepan rumah turut membuat hati saya runtun.
Saya basuh kereta arwah.
Dulunya arwah tak pernah benarkan saya membasuh.
"Biar atok basuh. Nanti kak yong penat."
Macam tu lah selalunya.

Tapi sekarang, bila balik kampung sunyi je rasa.
Sejak arwah meninggal, saya tak jejak kaki ke Teluk Chempedak.
Terbayang-bayang lagi kelibat arwah duduk di tepi pantai.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh 
Wan Sulaiman bin Wan Daud.




Perginya dia. -Part 1-

Semenjak saya melapor diri untuk semester baru ini, saya tidak mempunyai kesempatan untuk pulang ke rumah ibu dan ayah. 
Untuk telefon bertanya khabar pun saya sudah tidak sempat. 
Terlalu sibuk dengan duniawi.
Mujur ada seorang insan yang sering mengingatkan saya untuk telefon mereka dikampung.
Pada 18 Januari 2013, saya menelefon nenek dikampung.
Tapi hampa! Tiada siapa yang menjawab.
Saya bertanya ayah di Temerloh.
Barulah saya tahu bahawa atok dan wan ke rumah pak long di Bentong untuk menghadiri majlis cukur jambul cicit atok.
Keesokkan harinya, saya terlalu sibuk dengan tugasan-tugasan sehingga terlupa untuk bertanya khabar ayah dan ibu dirumah.
Tepat jam 12 malam, saya meletakkan kepala diatas bantal untuk menghilangkan lelah.
Tidak sampai 20 minit mata ini terlena, satu khidmat pesanan ringkas saya terima dari ayah.
" Atok tak sihat. Ayah nak hantar pergi hospital."
Ya Allah, tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
Tangan saya menggigil memegang telefon bimbit.
Air mata sudah bergenang tapi saya masih tahan.
Hati ini sudah tidak keruan
kerana saya cukup kenal siapa atok saya.
Dia tak akan ke hospital walau macam mana pun tapi bila dia sudah suruh hantar ke hospital,
itu bermakna dia benar-benar sakit.
Sepanjang malam saya tidak mampu melelapkan mata. 
Saling berbalas pesanan ringkas dengan ayah bertanya khabar atok.

Pada jam 4 pagi, saya mendapat berita atok sudah dimasukkan ke wad dan berada didalam keadaan stabil.
Barulah lega sedikit hati ni.
Selepas subuh, saya menyiapkan kembali tugasan-tugasan sehingga jam 10 pagi.
Saya menelefon ayah bertanya khabar atok.
" Atok dah sihat sikit nampaknya. Elok tengah makan mee goreng tu."
Alhamdulillah....

Pada jam 2 petang, saya menelefon kembali ayah.
Lama panggilan saya dibiarkan.
Seperti ada yang tidak kena. 
Ayah : " Iya, kak."
Saya : " Atok macam mana?"
Ayah : (Diam) " Nantilah ayah cerita."
Saya : " Kenapa tak cerita sekarang?"
Ayah : "Ayah tak tahu macam mana nak cerita. Nanti ayah pergi tengok"
Saya : " Ayah, atok mana? Atok okay tak?" 
Ayah : " Nanti ayah call balik boleh?"
Saya : " Ayahhhh..... Atok okay kan?"
Saat ini air mata saya sudah laju turun. Setiap pertanyaan saya tiada jawapan sehinggalah saya terdengar suara adik perempuan saya dari belakang.
Adik : " Ayah, doktor cakap nafas atok dah berhenti."
Ayah : " Ya Allah!"
Dengan penuh ketakutan dan kebimbangan, saya mencelah.
Saya : " Ayah, kakak nak balik. Kakak nak balik."
Ayah: " Awak belajar, kak."
Terus ayah meletakkan telefon. Terus saya hilang arah. Menangis tak henti-henti.
Telefon ibu, ibu tak angkat.
Telefon adik, adik tak angkat.
Telefon ayah, ayah tak angkat.
Saya juga kenal sikap ayah saya. Dia takkan buat saya risau. Dia tak mahu saya fikirkan perkara lain selain belajar. Tapi untuk hal-hal begini, mana mungkin saya duduk diam.

Akhirnya adik menjawab panggilan saya.
Saya : "Hello.... Hello...."
Adik : "Ayah cakap lah..." 
Ayah : "Awak cakap lah...."
Adik : " Orang takutt..."
Saya : "Hei, cakaplah. Jangan buat kakak macam ni."
Ayah : "Hello, kak." ( Ayah berlagak tenang)
Saya : "Atok macam mana?"
Ayah : "Doktor tengah periksa atok. Awak jangan risaulah. Tak ada apa-apa tu."
Saya : "Akak nak balik ye?"
Ayah : "Tak pe ke? Baliklah kalau nak balik sangat."

Selang beberapa saat, ibu pula menelefon dengan tangisan.
Saya : "Atok macam mana, bu?"
Ibu : "Ibu tak tahu. Doktor cakap nafas atok dah berhenti. Ibu takut...."
Saya : " Kakak balik sekarang ya?"
Ibu : "Boleh ke? Kalau boleh baliklah cepat."

Saya terus bersiap pulang ke Temerloh serta merta.
Balik sehelai sepinggang. 
Tak terfikir apa-apa dah.
Naik bas pukul 3 sampai hospital 5.30 petang.
Dengan sepanjang perjalanan asyik hujan, ditambah dengan keresahan hati, 
memang bertambah lambat perjalanan itu saya rasakan.

Sampai sahaja di hospital, semua adik beradik ayah sudah berada disisi atok.
Terduduk, terdiam saya melihat keadaan atok yang tak sedarkan diri itu.
Saya cium tangan atok berkali-kali dengan harapan dia tahu saya sudah balik.
Orang ramai sudah mula membaca yassin. 
Nenek mengajar atok mengucap kalimah syahadah.
Tak berhenti air mata ini turun.

Saat semuanya kian reda, saya mengambil keputusan balik ke rumah sebentar mengambil pakaian.
Prosedure di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah begitu ketat.
Saya bertekak dengan 'pak guard' di lobi kerana mereka tak benarkan adik saya dibawah umur untuk naik ke atas berjumpa atok.
Sedangkan doktor yang merawat atok sudah memberi keizinan untuk membawa seluruh ahli keluarga untuk naik berjumpa atok.

Akhirnya mereka mengalah dan membawa saya dan adik naik menggunakan lif staff.
Sampai sahaja di wad atok. Saya lihat kain langsir wad menutup katil atok.
Saya mula perlahankan langkah yang tadi mulanya dengan langkah seribu.
Allahuakhbar! 
Inalillahiwainnaillahirojiun.
Atok telah pun menghembuskan nafas.

Saya terus memeluk ayah.
Atok yang menjaga saya sejak kecil telahpun meninggalkan kami sekeluarga.
Allahuakhbar. Sempit saya rasakan dada ini tatkala melihat kain sudah pun menutup wajah atok.
Sepanjang proses membawa balik jenazah, saya masih disisi arwah.
Saya berada di bilik mayat sementara menunggu arwah dimandikan dan dikafankan.
Saya mencium dahi arwah dengan penuh kasih sayang.
Saya berada didalam van jenazah memeluk keranda sepanjang perjalanan ke Bentong.
Saya tetap berada disisi jenazah sepanjang waktu di tanah perkuburan.
Saya tak mahu terlepas satu pun perkara seperti mana saya terlepas pada arwah Shah dulu.

Semuanya telah selamat.
Arwah menghembuskan nafas pada 6.15 petang di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Dikebumikan di rumah anak arwah di Felda Mempaga 1, Bentong pada jam 11.15 malam.

Al-fatihah.