Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Khamis, 18 Jun 2015

Sebaik-baik Perancang Itu adalah Perancang Illahi



Taraaa ...!!!!

Mesti ramai yang terkejut bila lihat gambar ni kan? Betul apa yang korang tengok tu. Itu adalah gambar terbaru saya. Alhamdulillah.... Saya kini sah bergelar tunangan Mohammad Azman bin Mohd Nawi. Siapa tu? Nanti saya cerita panjang-panjang ye siapa dia, macam mana kami berkenalan dan macam mana kami akhirnya sampai ke tahap ni. 

Jujur saya katakan, sehingga ke hari ini saya masih belum percaya yang saya kini tunang kepada seseorang. Semuanya berlaku dengan pantas. Tapi saya sangat-sangat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. 

Banyak keajaiban yang berlaku sekarang bila kita redha dengan sesuatu musibah yang berlaku dalam hidup kita. Percaya tak kalau saya katakan majlis pertunangan kami dirancang dalam masa 3 hari sahaja? Ya! Itu yang terjadi sebenarnya. 

Akibat pada kekangan masa si dia, keputusan yang dibuat berlaku serta merta. Kami pun buat persiapan dalam masa 3 hari. Tiada masalah pada pihak lelaki kerana tiada banyak persiapan yang perlu dibuat tapi pada pihak kami, huru hara dibuatnya.

Kebetulan pada hari dimana si dia menelefon ibu untuk datang merisik, kami sekeluarga berada dikampung Kuala Pilah kerana sepupu saya baru sahaja meninggal dunia. Kami sekeluarga masih sedih tapi bila ketua keluarga bagi 'green light', rancangan diteruskan. Saya sendiri tidak tahu sebenarnya tentang 'green light' tersebut, jadi saya terkejut bila semua ahli keluarga datang pada saya dan cakap 'tahniah'. Whats app group juga meluru-luru masuk ucapan tahniah. So, bermulalah persiapan kami sekeluarga.

Hari Pertama

Saya mula berbincang dengan ibu saudara saya apa yang perlu disiapkan untuk majlis itu nanti. Ibu dan ayah saya hanya menguruskan hal makan minum tetamu sahaja. Kami tetapkan tema pada hari majlis. Nak tahu tak apa temanya? Memang lain dari lain. Tak pernah saya dengar sesiapa buat lagi tema ni. Temanya adalah TEMA JIMAT. Haa. Nampak?? Hahaha. 

Saya tidak berhasrat menyewa baju atau pelamin untuk majlis itu nanti. Tapi saya hanya berhasrat untuk membuat satu ruang untuk kami bergambar. Saya tak mahu nanti gambar kenang-kenangan kami ada budak-budak berlari-lari dibelakang atau lebih tepat lagi 'photo bomb'. 

Okay. Saya bagi contoh kat bawah ni gambar yang dikatakan 'photo bomb'

 lagi satu! 


Nampak macam kelakar kan? Oleh sebab itulah, saya nasihatkan pada mana-mana pasangan yang nak jimat kos, tak nak pelamin bagai, saya sarankan anda buat satu ruang untuk bergambar. Cuma letakkan tirai, letak bunga hiasan rumah mak kita depan ruang tamu tu kiri kanan pun dah memadai. Okay, habis bab pelamin.

Hari Kedua

Hari kedua pula kami keluar mencari barang-barang hiasan 'pelamin', hiasan hantaran dan lain-lain lagi lah. Saya sememangnya seorang yang berpegang kepada rezeki untuk kita buat sesuatu yang baik itu memang telah ditetapkan. Hantaran kami 5 berbalas 7 dulang. Sebenarnya saya tak berapa gemar dengan hantaran tapi saya anggapnya sebagai hadiah dari pihak sana ke pihak kami dan sebaliknya. Setiap dulang hantaran kami itu ditaja sepenuhnya oleh kaum keluarga. Rezeki kan? Alhamdulillah... saya tak keluarkan satu sen pun untuk hantaran. Semoga tuhan membalas keikhlasan kalian semua. Amin. Memang kena dengan tema jimat saya. 

Selepas itu kami berjalan-jalan lagi, terjumpa satu baju kurung yang sangat cantik. Saya memang berat untuk membeli tapi bila ayah saya sendiri bertanya, adakah saya tak kisah meminjam baju saudara mara untuk hari bersejarah saya, saya mengalah. Tambahan pula baju itu boleh saya gunakan untuk Hari Raya yang akan datang. Baju pun tak lebih harga RM 150. Selesai bab baju dan tudung.

Hari Ketiga

Oleh kerana kami baru sahaja berkenalan, si dia tidak tahu saiz jari saya untuk membeli cincin, jadi keluarga si dia memutuskan untuk hanya memberi sejumlah wang dan saya perlu membelinya sendiri. Pada saya itu lebih mudah memandangkan kampung kami berdua tersangatlah jauh untuk dia berulang alik membuat persiapan. Saya ke kedai emas bersama mak teh saya dan kawan dari kecil saya, Juliyati. Pada masa itu kalau tak silap saya emas masih di harga yang tinggi iaitu RM 164/gram. Agak tinggi kos nya bila perlu membeli dua bentuk cincin. Kalau boleh saya hanya mahukan sebentuk cincin tapi atas kehendak keluarga yang mahu kami mengikut adat, saya mengalah. Saya membeli dua bentuk cincin dengan harga hanya RM 500 sahaja. Kedua-dua cincin tersebut adalah berat dalam 2. ++ gram sebentuk. Saya tak pilih cincin yang ada permata, hanya berukiran sahaja bagi menjimatkan kos. Saya pun tak mahu membebankan si dia. Saya yang akan berkongsi hidup dengan si dia, saya tak mahu kami berhutang selepas majlis. 

Pada malamnya, suasana rumah mula bertukar riuh rendah saudara mara, jiran tetangga. Saya bersama kawan-kawan dan sepupu mula menyiapkan ruang pelamin yang serba sederhana. Sayalah yang turun naik panjat tangga ikat langsir apa semua. Sampai jiran-jiran marah. Dia kata orang tengah darah manis buat kerja macam orang lelaki. 

Pada ketika kami sibuk-sibuk tu,  satu kejutan buat saya bila sepupu saya di Johor yang tidak dapat turut sama meraikan hari bersejarah saya menaja barang-barang hiasan pelamin saya. Dari situlah terjadinya sebuah pelamin yang lengkap. Alhamdulillah. Rezeki lagi. 

Hari Majlis

         Akhirnya hari yang dinanti pun tiba. Saya bangun awal pagi bersarapan bersama kaum keluarga, membantu kerja-kerja didapur serba sedikit. Betul kata orang, kita perlu merancang majlis betul-betul. Diakhir-akhir nanti, pasti terlihat kekurangannya. Pagi itu kami ke kedai pelamin lagi membeli beberapa hiasan untuk hantaran. Tudung yang pada mulanya saya beli itu tidak bersesuaian pula dengan baju. Saya keluar lagi sekali membeli yang baru. Sehinggakan pemilik kedai pelamin itu ketawa bila mengetahui saya yang akan diraikan pada hari tersebut tapi saya masih lagi keluar membawa mak cik saya membeli barang. Maklumlah semuanya sedang sibuk. 

            Majlis dijadualkan selepas zohor. Saya mula make up jam 11.30 pagi. Mak andam saya adalah ibu saudara kawan saya sendiri, Juliyati. Dia hanya mengambil upah sebanyak RM 100. Tengah-tengah make up, saya jadi lapar. Orang kata, pada hari majlis kita tak akan ada selera nak makan tapi terbalik pula dengan saya. Berulang kali pulak tu saya makan. 

Ramai yang tanya macam mana perasaan saya hari itu. Pada mulanya memang saya tidak merasa apa-apa. Saya hanya merasa berdebar bila saya dipanggil turun untuk menyarungkan cincin. Masa itu nak gugur rasanya sebab semua mata melihat kita. Mujur ada teman baik saya yang datang menemani saya. Dia ajak saya berbual untuk menghilangkan gemuruh. 



    
         Selesai sudah majlis pertunangan saya. Alhamdulillah. Saya sangat-sangat bersyukur. Terima kasih kedua-dua belah pihak. Keluarga si dia yang datang dari jauh. Kaum keluarga saya yang bertungkus lumus demi menjayakan majlis ini. Terima kasih banyak-banyak. Terluah dengan kata-kata bagaimana saya menghargai kalian semua. 

           Semoga kita berjumpa lagi di lain masa. Saya perlu bersiap kerana pada pukul 3 petang ini saya akan menghadiri temuduga kerja yang akan ditemani oleh Encik Tunang saya yang sentiasa bersama saya susah dan senang saya dan menerima saya baik dan buruk. Doakan saya berjaya. :)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan