Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Jumaat, 18 Mei 2012

11 bulan!


Bismillahhirrahmannirahim....

Mungkin saya terlewat beberapa hari untuk mengabadikan salah satu tarikh yang cukup penting dalam hidup saya. 8 May 2012 merupakan bulan yang ke 11 perginya si dia untuk selama-lamanya dari hidup saya, hidup keluarganya dan juga dari kehidupan kawan-kawan sekelilingnya. Namun mungkin kehidupan saya yang paling terkesan menerima berita pemergiannya berbanding keluarga. Bukan saya mahu membuka aib keluarga si dia namun biarlah ia menjadi rahsia dalam hidup saya.

Untuk entri yang ke 11 pemergian si dia ini, saya mahu abadikan kisah terakhir sebelum pemergian si dia. 2 May 2011, Allah menguji kami dengan perselisihan faham. Saya akui mungkin ia juga khilaf saya yang terlalu ego dan berkeras dengannya namun keegoaan saya itu untuk menegakkan hak saya sebagai siapa saya disisinya selama ini.

Kami bertembung dengan bekas teman wanitanya beberapa hari sebelum itu. Bekas teman wanitanya itu pula sering mengganggu kehidupan saya. Beliau sering menelefon saya bertanya soal si dia sedangkan wanita itu juga sudah mempunyai satu kehidupan baru bersama teman lelakinya. Saya tidak tahu apa helah disebalik pertemuan itu dan wanita itu berjaya membuat saya meragui kesetiaan si dia untuk saya.

Selama ini saya begitu mempercayai si dia. Ke mana sahaja si dia pergi, tidak pernah saya ragui kerana saya tahu si dia bekerja di kalangan lelaki. Tidak sedikit pun saya bimbang dengan siapa si dia keluar menghabiskan waktu. Sehinggalah pada satu hari saya terkasar bahasa dengan si dia. Tidak pernah walau sekalipun saya meninggikan suara pada si dia namun dalam keadaan tidak sedar, kemarahan saya mengatasi rasa hormat saya. Dalam kemarahan itu juga saya tidak sedar bahawa air mata saya mula mengalir. Si dia hanya membiarkan sahaja dan meninggalkan saya dengan kata-kata,
" Dia adalah masa silam saya sedangkan awak adalah masa depan saya." Kata-kata si dia itu membuatkan saya tersedar. Saya tidak sepatutnya meragui kesetiaan dan kasih sayang si dia sedangkan saya memiliki hatinya. Namun keegoaan saya masih belum juga reda. Saya membiarkan si dia berkursus di Kedah tanpa keredhaan saya. Beberapa hari si dia berada di Kedah tanpa saya menjawab panggilan dan kiriman SMS si dia. Dalam hati ini berharap supaya si dia pulang dan segera menunaikan hajat saya yang telah sekian lama tertangguh iaitu saya mahu si dia bertemu dengan keluarganya setelah 7 tahun berpisah. Namun tidak pula saya jangkakan si dia akan memenuhi permintaan saya itu dengan sekujur tubuh kaku berbalut kain putih di tengah ruang tamu rumah keluarganya.

Selama berbulan-bulan saya mengambil masa untuk tersenyum semula. Berbulan-bulan! Tiada lagi lelaki sepertinya yang saya temui. Saya sangkakan dialah teman hidup saya. Segala ciri-ciri lelaki idaman saya ada pada si dia. Si dia romantik, penuh dengan kejutan. Si dia menghormati orang yang lebih tua dan kaum wanita dan yang paling penting si dia mampu menjadi imam solat saya. Kata-kata yang masih terngiang yang mampu mencurahkan air mata ini untuk yang kesekian kali ini adalah,
" Kalau boleh, biarlah saya pergi dulu sebelum awak sebab saya tak sanggup untuk lihat orang yang saya sayang dikafan dan dikebumikan didepan mata saya."
Saya juga tidak mampu untuk melihat semua itu. Tapi mengapa saya perlu melihat semua itu? Saya tak cukup kuat! Saya rapuh! Selama ini si dia kekuatan saya. Saya sangkakan apabila berdamping dengan seorang yang tegas malah seorang tentera, saya kuat namun tidak saya duga semua ini akan berlaku. Allah lebih menyayangi si dia lebih dari saya menyayangi si dia.  Dan ia diluar kekuasaan saya. Saya redha! Demi Allah, saya redha dan relakan pemergian awak, sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan