Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Jumaat, 23 Mac 2012

Memori SPM

Memandangkan kisah yang paling hangat pada minggu ini adalah kisah kecemerlangan adik-adik kita dalam peperiksaan SPM 2011, entri kali ini adalah mengenai pengalaman saya mengambil peperiksaan SPM kira-kira tiga tahun yang lepas iaitu pada tahun 2009.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar ABS yang cemerlang dan sekali lagi menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Terbaik Pahang. Pada mereka yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang juga tahniah diucapkan. Pada yang kurang cemerlang, dengar sini kakak mahu nasihat. Keputusan yang kalian dapat sekarang tidak mempunyai apa-apa makna jika kalian terus bersedih atau kecewa. Bukan keputusan SPM yang kalian dapat baru-baru ini adalah kayu pengukur pada berjayanya seseorang itu dalam hidup. Ini hanyalah permulaan. Seperti yang selalu orang cakap, “ Hero Hindustan akan kalah dulu.” Betul kan? Siapa akan tahu jika kalian akan lebih Berjaya dari mereka yang mendapat ‘straight A’? Berjayanya seseorang itu bukan kerana berapa banyak A yang diperolehi tapi siapa anda dimana hadapan. Itu pengukur segalanya. Buktikan pada mereka yang ketawa dengan pencapaian anda dimana anda akan berada 10 tahun akan datang.

Kebelakangan ini, saya mengalami gangguan psikologi kerana pensyarah sering marah-marah. Semuanya gara-gara sikap. Sikap pelajar yang datang lewat, sikap pelajar yang tidak mahu memperbaiki diri. Sehinggakan Penasihat Akademik tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Nasihat tidak jalan, mahu marah sudah besar panjang. Akhirnya jatuhlah air mata seorang pendidik. Seperti yang kita tahu, setitik air mata beliau menitis, susah untuk kita mendapat berkat untuk menimba ilmu. Jadi semua, jadikan ini satu pengajaran.

Pelbagai kisah susah senang mereka dahulu diceritakan namun kisah-kisah seperti itu sudah tidak mampu menginsafkan mereka yang sudah dari lahir hidup dalam keadaan mewah. Bak kata orang, mereka yang tidak mengenal erti kesusahan tidak akan menghargai hidup senang namun pada generasi Y sekarang, mereka sudah senang dari lahir. Tiada apa yang mampu melembutkan hati mereka.

Tahun 2009 merupakan tahun yang paling mencabar dalam hidup saya. Sama seperti orang lain, saya juga mengambil peperiksaan SPM namun kisah hidup saya berlainan dengan rakan-rakan sebaya saya. Saya dikelilingi rakan-rakan yang berlatar belakangkan kehidupan yang mewah. Ada diantaranya anak pengurus syarikat swasta, ada juga anak pengarah jabatan kerajaan, anak guru. Saya pula hanya seorang anak pemandu lori.

Mahu dijadikan cerita, pada tahun tersebut ayah saya terlantar sakit selama beberapa bulan dan perlu dibedah. Ibu terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ayah yang berada dihospital. Sementara saya terpaksa mengambil alih tugas ibu dirumah dengan menjaga adik-adik yang bersekolah. Saya terpaksa berkorban masa dan tenaga. Sehabisnya psikologi dan emosi daya terganggu dek kerana itu. ketika itulah saya kenal siapa kawan dan siapa lawan. Teman yang dari kecil bersama saya meninggalkan saya dengan berbagai fitnah dan terus menjauhkan diri dari saya. Seingat saya hanya lima orang yang masih disisi saya. Mereka adalah rakan-rakan yang terlalu baik bagi saya. Mereka bersama saya susah dan senang dan tidak sewenang-wenangnya termakan fitnah yang menimpa saya. Guru-guru juga banyak membantu saya ketika itu. Puan Azni binti Abdul Aziz yang banyak memberi saya semangat. Kata-kata beliau yang saya pegang sehingga sekarang adalah, “ Ini adalah dugaan bagi mereka yang mahu Berjaya.” Benar kata beliau, dugaan-dugaan inilah yang mematangkan saya pada hari ini. Tidak lupa juga Puan Azian yang merupakan guru kelas saya. Sedang saya difitnah sehinggakan fitnah tersebut sampai ke telinga arwah pengetua kami ketika itu, beliau satu-satunya yang berada dibelakang saya dan percayakan saya ketika itu. Bayangkan bagaimana saya mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran dengan begitu banyak tekanan?

Ketika menghadapi peperiksaan percubaan SPM, ayah terpaksa dibedah dengan segera. Sepanjang berada didalam dewan peperiksaan, saya hanya menangis dan tidak mampu untuk berfikir apa-apa sehinggalah saya meminta izin untuk keluar dari dewan peperiksaan dan bekejar ke hospital. Saya bernasib baik kerana sempat berjumpa ayah sebelum beliau dimasukkan ke dewan bedah walaupun hanya 5 saat. 5 saat sahaja!

Melihat ayah terlantar di wad ICU selama 2 minggu cukup menghiris hati kami adik beradik. Seumur hidup kami tidak pernah melihat ayah sakit sehingga begitu sekali dengan pelbagai wayar disambung ke badan ayah. Hidup kami terkontang-kanting sehinggakan saya membuat keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja demi adik-adik. Tapi keputusan itu ditentang nenek dan datuk. Bagi mereka, sudahlah ayah tidak berjaya dan mereka tidak mahu itu berulang pada cucu mereka pula.

Saya terpaksa berhenti dari menghadiri kelas tambahan kerana kesempitan hidup. Memandangkan ayah sudah tidak mampu bekerja, ibu pula terpaksa menjaga ayah. Hanya nenek dan datuk tempat kami mengadu nasib. Kami adik beradik masih beruntung mempunyai datuk dan nenek ketika itu. Sudah habis semua simpanan ayah, ibu, nenek bagi menanggung perbelanjaan kami sekeluarga. Saya yang menerima wang biasiswa kerajaan juga mengeluarkan sepenuhnya untuk kepentingan adik-adik. Sedikit pun saya tidak mahu membebankan ibu lagi. Saya merahsiakan banyak hal pelajaran adik-adik. Saya yang menandatangani buku rekod pelajaran adik-adik. Saya yang membayar buku-buku pelajaran adik-adik. Walaupun ketika itu pelajaran adik-adik saya cukup membanggakan.

Selang seminggu selepas ayah selamat dibedah, kami mengadakan majlis doa selamat untuk memanjatkan rasa syukur diatas kesihatan ayah. Kami sekeluarga sudah mampu menarik nafas lega ketika itu kerana ayah sudah kembali ke rumah walaupun ketika itu ayah masih belum benar-benar sihat. Ayah kurang bercakap, badan ayah susut dan ayah juga sering keletihan. Saya dan adik-adik yang lain sering menangis didalam bilik kerana kami rasakan sudah hilang ayah. Ayah sudah tidak bercakap dengan kami. Tiada lagi lawak jenaka dari beliau. Sehingga adik saya menyuarakan bahawa ayah sudah tidak sayang kami adik beradik. Namun saya cuba buat mereka mengerti bahawa ayah saya sedang sakit dan beliau perlukan masa.

Pada majlis kesyukuran itu, mama saya berkata, “ Selepas ini akan ada satu lagi majlis. Mama nak buat kenduri arwah.” Kami menunggu sehinggalah ke saat yang dijanjikan. Rupa-rupanya majlis yang dimaksudkan adalah kenduri arwah buat mama saya sendiri. Mama yang sentiasa bersama saya saat jatuh bangun saya. Ketika itu saya sudah hampir dengan peperiksaan sebenar SPM. Mama pergi meninggalkan kami sekeluarga pada tahun yang cukup genting bagi saya. Mama pernah berpesan pada saya,

“ Mama nak tengok anak mama ni berjaya. Mama nak tengok anak mama ni kahwin dengan lelaki yang baik-baik. Lepas SPM nanti boleh ambil lesen kereta dan boleh ikut mama kerja. Dah besar anak mama ni. Nanti semua nak tinggalkan mama.”

Kata-kata itu arwah mama lontarkan didepan kawan-kawan saya yang lain ketika kami keluar makan di kedai milik salah seorang teman saya. Tapi sekarang semuanya hanya tinggal kenangan. Berbagai dugaan yang saya tempuh ketika menghadapi SPM. Dengan pelbagai dugaan itu, tidak hairanlah mengapa keputusan SPM saya tidak begitu memberangsangkan sedangkan saya adalah antara pelajar harapan sekolah ketika itu. Tetapi saya tidak akan sesekali membiarkan adik-adik saya berada didalam situasi saya ketika itu. Saya akan pastikan mereka berjaya. Saya tidak kisah jika saya tidak berjaya namun saya akan pastikan adik-adik saya berjaya.

Cukuplah setakat ini cerita saya. Air mata sudah pun berjururan jatuh. Akhir kata, assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan