Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Rabu, 21 Mac 2012

Bersyukurlah Apa Adanya

Kita sebagai manusia berkongsi pentas yang sama dengan insan lain di muka bumi ini. Apa yang kita lalui dari sebesar 2 jari sehingga kini pasti akan dirasai oleh semua penghuni yang lain. Namun yang membezakan adalah takdir yang telah ditetapkan dari kita terbentuk sebagai janin. Mungkin takdir kita sama dengan insan lain dan mungkin takdir kita lebih berat. Namun ingatlah, seberat-berat dugaan yang kita lalui akan ada yang menempuhnya dengan lebih berat. Ini bermakna, ada insan lain yang lebih menderita daripada kita. Saya ingin berkongsi tentang satu peristiwa yang terjadi dalam diri seseorang yang lebih berat dugaannya berbanding dugaan yang saya tempuhi.

*******************************************************************************************

Hidup saya penuh dengan kemewahan dan limpahan kasih sayang. Sehinggakan saya tidak memerlukan harta dari ibu bapa saya kerana saya dan suami berjaya dalam kerjaya masing-masing. Saya dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia dan suami penyayang dan bertanggungjawab. Rezeki yang melimpah ruah ini kami kongsi dengan orang lain yang lebih memerlukan. Namun saya dan suami tidak mempunyai rezeki untuk memiliki cahaya mata walaupun sudah hampir 10 tahun berkahwin.

“ Abang, saya minta maaf kerana tak dapat beri abang zuriat selama kita berkahwin. Hari ini genap 8 tahun kita nikah dan saya izinkan abang berkahwin dengan perempuan lain. Saya sendiri yang akan pinangkan dia dan tanggung perbelanjaan perkahwinan itu nanti.” Sehingga sampai tarikh pernikahan kami yang ke 8, saya beralah. Saya mahukan Arman, suami saya itu mempunyai zuriatnya sendiri supaya hidupnya akan lebih bahagia dan apabila dia sudah tiada kelak, saya mahukan ada zuriatnya yang akan mendoakan kesejahteraannya di alam sana kelak.

“ Linda, tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran ini untuk berkahwin lagi. Linda yang abang mahukan dari sejak kita di bangku sekolah lagi, dan abang akan menjaga Linda hingga akhir hayat abang. Abang tak mungkin khianati cinta kita.” Air mata lelakinya jatuh tatkala saya terus memohonnya untuk nikah satu lagi. Namun dia lebih berkeras dari saya.

“ Abang hanya akan bersama Linda dan hanya Linda. Tiada orang kedua dan ketiga dalam hidup abang. Abang tidak pernah merungut jika kita tidak dikurniakan cahaya mata. Mungkin itu bukan rezeki kita tapi abang mohon Linda jangan paksa abang untuk duakan Linda. Abang tak sanggup.” Akhirnya aku akur. Aku tahu pernikahan bukanlah sesuatu yang boleh dibawa bermain. Jika aku tetap memaksanya bernikah lagi, mungkin akan menganiaya wanita yang akan menjadi teman hidupnya itu.

Setahun berlalu dengan berbagai dugaan yang menimpa kami. Kami pernah dicaci didepan muka sendiri gara-gara tidak mempunyai zuriat sendiri. Berbagai cara kami telah usahakan namun semuanya sia-sia belaka. Bagi menghiburkan hati, kami akan ke pusat penjagaan kanak-kanak pada setiap hujung minggu. Hati ini terasa begitu lapang apabila melihat senyuman dan mendengar ketawa riang kanak-kanak disitu. Sehinggalah pada suatu hari saya dan suami mendengar satu tangisan yang cukup kuat. Tangisan bayi itu tidak henti-henti walaupun sudah diberi makan dan minum.

“ Mengapa dengan bayi ini, puan?” Saya sedikit gelisah melihat bayi itu yang tidak henti-henti menangis.

“ Sejak kami menjaga bayi ini disini, bayi ini terus-terusan menangis dan hanya akan diam apabila keletihan. Kami sudah cuba bawa berjumpa doktor namun tiada apa-apa yang dapat membantu.” Kata penjaga rumah tersebut.

“ Boleh saya dukung bayi ini?” Melekat sahaja tubuh bayi tersebut pada dada saya, bayi yang tadinya menangis kemudiannya terdiam. Tersenyum Arman melihatnya. Tidak pernah saya mendukung bayi sekecil itu seumur hidup saya dan saat itulah air mata kegembiraan mengalir tanpa saya sedari. Arman cukup berbesar hati.

“ Linda, dia berhenti menangis, sayang.” Hanya itu yang keluar dari mulut suami saya ketika itu. Seluruh penjaga dirumah penjagaan kanak-kanak itu menghampiri kami. Sepanjang bayi tersebut berada dirumah terbabit, tiada siapa pun yang mampu hentikan tangisan bayi itu walaupun sudah bermacam-macam cara yang dilakukan.

“ Alhamdulillah. Naluri keibuan Puan Linda cukup kuat.” Kata salah seorang penjaga. Ketika itu, saya lihat wajah Arman berseri-seri. Tidak pernah saya melihat suami saya ini sebegini gembira selain dari saat kami diijabkabulkan.

“ Maafkan saya, abang. Saya tak dapat beri abang zuriat.” Sekali lagi air mata ini mengalir dan kali ini adalah air mata penyesalan. Saya tahu jauh disudut hati Arman dia begitu mahukan zuriat yang boleh mengimamkan solat dan menjaga kami ketika tua kelak.

“ Linda, kasih sayang abang pada Linda lebih besar daripada semua itu.” Arman mengucup dahiku. Bayi tadi terus terlena didakapan ini. Ya Allah, terima kasih kerana Engkau mengurniakan aku seorang suami yang cukup menyayangi diri ini.

*****************************************************************************************

Hari-hari kami lalui dengan mengisi masa terluang dengan bayi tersebut. Ada kalanya kami meminta izin pengetua rumah berkenaan untuk membawa bayi tersebut pulang ke rumah. Akhirnya kami berdua membuat keputusan untuk mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat kami. Saya juga telah berhajat untuk menyusukan bayi itu dengan susu badan saya sendiri supaya dia halal bagi kami berdua.

Pada suatu petang, saya ke klinik berdekatan perumahan kami kerana saya mempunyai masalah dengan kitaran haid saya. Sudah tiga bulan saya tidak didatangi haid dan ia amat merungsingkan saya dan Arman.

“ Tahniah, Puan Linda. Puan disahkan hamil.”

“ Alhamdulillah….” Tidak terucap dengan kata-kata betapa saya gembira dengan berita yang dikhabarkan. Bertahun lamanya menunggu kedatangan cahaya mata dan akhirnya berita yang mahu saya dengari 9 tahun lepas tercapai. Saya sampaikan berita gembira itu kepada Arman di pejabatnya. Satu pejabat bergegar dengan jeritannya. Didakapnya saya berkali-kali didepan pekerja-pekerjanya tanpa segan silu.

“ Tahniah, Encik Arman. Tuhan makbulkan doa encik.” Para pekerjanya tidak putus-putus mengucapkan perkataan tahniah.

“ Alhamdulillah…. Semua ini berkat solat hajat saya tiap-tiap malam.”

Berita itu juga disampaikan kepada seluruh ahli keluarga kami. Rata-rata gembira dengannya dan kami meraikannya dengan mengadakan majlis kesyukuran di masjid perumahan kami, di masjid kampong kami dan dirumah kami sendiri. Arman tidak pernah lokek membelanjakan wangnya ke jalan Allah.

Setiap malam Arman mengusap perut saya dengan penuh kasih sayang. Arman bercakap dengan bayi kami setiap kali sebelum tidur dan setiap saat yang terluang. Arman menjaga saya dengan rapi sehinggakan satu pekerjaan pun dia tidak mahu saya lakukan. Arman menggaji seorang ibu tunggal untuk menguruskan rumah tangga kami. Arman juga menyuruh saya berhenti dari bekerja dan mahu saya menumpukan sepenuh perhatian terhadap bayi kami. Segala persiapan bayi telah Arman lengkapkan sejak awal kandungan lagi. Bilik bayi juga dihias indah dengan khidmat pereka dalaman. Besar sungguh kasih sayang Arman terhadap bayi yang saya kandung ini. Sehinggalah 9 bulan kemudian dimana saya dijangka melahirkan bayi sulung kami. Namun dugaan tidak mengenal siapa. Semasa melahirkan bayi, saya mengalami masalah dan doktor meminta Arman memilih antara saya dan bayi kami. Belum sempat doktor meminta Arman membuat pilihan, Arman sudah menyebut nama saya.

“ Linda, doktor. Tolong selamatkan Linda. Tolong selamatkan isteri saya.”

Alhamdulillah…. Allah masih memanjangkan usia saya untuk menjalani hidup bersama Arman. Dapat saya lihat ketakutan dalam diri Arman apabila melihat saya bertarung dengan maut didepan matanya.

“ Abang tak sanggup kehilangan Linda. Abang tak sanggup….” Hanya itu yang sering diulang-ulang Arman selepas kejadian tersebut walaupun sudah lama ia berlalu.

“ Linda minta maaf. Linda masih tak mampu memberi abang zuriat.”

Kadang kala saya sendiri menyalahkan takdir saya kerana tidak mampu membahagiakan Arman. Namun Arman sering mengingatkan saya dan sentiasa mahu saya mendekati Allah. Akhirnya saya menerima takdir saya dengan hati yang terbuka. Demi melihat kegembiraan dan kebahagiaan Arman, saya mengambil anak angkat untuk menemani kami sepanjang perkahwinan. Bayi tersebut diberi nama Dania Natasha sebagai pengikat kasih sayang antara kami. Saya dan suami menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Kasih sayang yang tidak pernah berbelah bagi.

Namun, genap usia pernikahan kami yang ke 12, Arman pergi mengadap Illahi. Arman hanya sempat meninggalkan kad ucapan bersama sejambak bunga yang tertulis,

“ Linda, cinta abang untuk Linda akan kekal selamanya. Kasih sayang abang juga terhadap Linda dan anak kita akan tetap didalam hati ini hingga ke saat nafas abang terhenti. Abang akan hantar sesuatu untuk Linda dan anak kita nanti.”

Air mata ini mengalir saat jenazahnya diusung masuk ke ruang tamu rumah kami. Inikah sesuatu yang dimaksudkan? Arman meninggalkan saya dengan seribu tangisan dan kekecewaan. Dania yang masih belum mengerti apa-apa itu sudahpun kehilangan insan yang begitu menyayanginya. “ Papa dah tinggalkan kita, sayang.” Apa sahaja yang keluar dari mulut ini hanya dibalas dengan senyuman Dania. Sayangnya dia masih belum mengenali lelaki hebat dalam hidupnya itu.

Setiap malam saya hanya bertemankan Dania. Tiada siapa lagi yang berada disebelah saya ketika tidur. Tiada siapa lagi yang menceritakan kisah-kisah nabi untuk Dania. Saya usap bantal dimana Arman meletakkan kepalanya. Saya cium pakaiannya. Terasa dia berada disebelah namun apabila saya menoleh, tiada siapa lagi yang melemparkan senyuman. Setiap sudut rumah saya akan terbayang Arman.

“ Linda, kamu jangan begini. Kamu mesti kuat untuk jaga Dania. Dania itu adalah amanah dari Arman untuk kamu.” Mak Nab sering menasihati saya dan memberi saya semangat untuk membesarkan Dania seorang diri.

“ Mak Nab, saya sudah tidak mampu untuk menggaji Mak Nab. Disini ada RM2000 dan saya harap ia cukup untuk menampung perbelanjaan Mak Nab. Mak Nab pulanglah ke kampong.”

“ Linda halau Mak Nab ke? Mak Nab tetap akan bersama Linda walau apa pun yang berlaku. Mak Nab sudah berjanji dengan arwah Arman. Mak Nab sanggup berkhidmat untuk Linda dan Dania tanpa gaji. Ke mana Mak Nab nak pergi? Mak Nab tiada siapa-siapa didunia ini.”

Mak Nab sudah saya anggap seperti ibu kandung saya sendiri. Mak Nab membantu saya menjaga Dania sementara saya keluar bekerja. Apa yang saya lalui kini, telah pun Mak Nab lalui 10 tahun yang lalu. Setelah pemergian Arman, saya mengambil alih urusan rumah tangga yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Bayar bil, bayar kereta, bayar rumah, beli barang dapur, semuanya saya lakukan sendiri.

“ Kalaulah abang ada sekarang….” Setiap kali ayat itu keluar dari mulut ini, air mata pasti akan menitis.

Setiap malam juga saya mengambil alih tempat Arman menceritakan kisah-kisah nabi kepada Dania. Setiap malam juga saya akan menceritakan kepada Dania siapa lelaki yang berada disamping kami dulu dan lelaki itu adalah Arman.

“ Dan sekarang, Dania sudah berusia 4 tahun, sayang. 3 tahun sudah abang pergi meninggalkan kami namun saya masih dapat rasakan abang masih berada bersama kami. Gerak laku abang, senyuman abang, semuanya masih terbayang-bayang. Haruman abang masih dapat saya hidu. Barangan abang masih ditempat asal. Tidak pernah saya alihkan supaya saya akan mengingati abang selamanya. Sebagaimana abang sayangkan saya dan Dania, begitu juga saya akan menyayangi Dania seperti anak kandung kita sendiri. Hari ini genap usia perkahwinan kita yang ke 16 dan saya masih menyayangi abang sama seperti di bangku sekolah. Cinta ini tidak pernah luput. Terima kasih untuk segalanya, abang. Terima kasih untuk cinta ini. Semoga abang tenang disana. Saya dan Dania akan sentiasa mendoakan kesejahteraan abang. Amin….”

******************************************************************************************

Apa yang dapat saya simpulkan disini adalah dibalik dugaan yang menimpa kita, ada lagi yang lebih menderita dari kita. Kita hanya perlu bersyukur dengan apa sahaja nikmat atau bencana yang menimpa kita. Saya masih dikira bernasib baik kerana saya dan si dia bukanlah pasangan suami isteri. Mungkin impaknya akan lebih besar daripada sekarang jika dia adalah suami saya. Alhamdulillah…. Saya bersyukur, ya Allah. Engkau masih menyayangi diri ini dengan menghantar dugaan kepada hambaMu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan