Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Isnin, 26 September 2011

Anugerah Balik Bencana

Alhamdulillah.... Segala persiapan majlis berjalan dengan lancar. Kad jemputan hasil idea saya juga sedang beredar untuk kenalan semua. Sangat-sangat teruja saya dibuatnya menunggu hari yang bersejarah tersebut. Oleh kerana itulah saya tidak dapat mengemas kini blog saya. Itu adalah jawapan untuk mereka yang sering bertanya mengenai entri terbaru saya. Dan inilah yang terbaik yang mampu saya hasilkan buat masa sekarang. Masa saya berjalan dengan begitu laju sehingga saya sendiri tidak sedar bahawa banyak lagi komitmen yang harus saya lakukan.

Dalam kemeriahan mengatur persiapan majlis, kami sekeluarga diuji oleh Nya. Si Abang ditimpa kemalangan. Dalam perjalanan ke hospital, dua kali si abang batuk dan muntah darah. Tak sanggup saya melihat dia bernafas. Terasa kepayahannya untuk bernafas inikan pula bercakap. Namun si abang tetap katakan bahawa dia masih dalam keadaan baik. 

Hampir setengah hari saya habiskan masa dihospital untuk menunggunya. Pelbagai perasaan yang timbul. Setiap 5 minit saya melihat jam ditangan. Kadang-kala kesabaran ini teruji namun saya perlu faham situasi ketika itu. Dan penantian saya terjawab apabila si abang menghantar khidmat pesanan ringkas mengatakan bahawa dia perlu dikejarkan ke zon kritikal. Berlari saya mendapatkannya. Namun kami tidak sempat berbicara panjang. Katilnya diusung laju oleh para jururawat dan 3 orang doktor mengiringinya. Setiap 5 minit saya mengintai dari luar. Saya tetap mahu tahu keadaan si abang walaupun saya sendiri mabuk darah.

 Kesudahannya, jururawat tersebut menyuruh saya menunggu didepan kerana prosedur tersebut mengambil masa yang lama. 1 jam kemudian saya kembali semula ke bilik berkenaan. Setelah diberikan kebenaran untuk melawat, saya dapat lihat abang yang masih lagi dirawat oleh doktor sambil mengerang kesakitan dan memanggil nama saya. Saya bergegas keluar kerana tidak sanggup untuk melihat darah yang lebih banyak. Namun panggilan memanggil nama saya buat saya kuat. Saya berada disampingnya walaupun masih dirawat oleh 2 orang doktor. 


Akhirnya, air mata saya mengalir secara tidak sengaja di khalayak ramai. Bukanlah saya 'cegeng' tapi saya tak sanggup melihat orang yang saya sayang dalam kesakitan. Mungkin selama ini kami bahagia namun melihat dia terlantar sambil mengerang kesakitan, meluluhkan hati ini. Tangan saya menggigil memengang telefon bimbit untuk menelefon orang tuanya. Saya sendiri buntu siapa yang harus saya khabarkan. Jika saya khabarkan pada mak, mungkin sebentar lagi unit Jabatan Pertahanan Awam akan datang ke rumah. 
Akhirnya saya merahsiakan dari mak dan hanya memberitahu adik beradik yang lain. Kak Long juga bersetuju.

Sehingga jam 4 pagi, abang disahkan stabil dan dimasukkan di wad. Alhamdulillah.... Pengorbanan saya menunggunya selama 10 jam dihospital berbaloi apabila doktor mengesahkan dia dalam keadaan baik. Banyak pengajaran dibalik kejadian yang menimpa kami sekeluarga. Mungkin Allah tidak mahu kami terlalu leka dengan kegembiraan menyambut majlis tersebut. Kami sekeluarga menerimanya dengan redha dan menganggapnya sebagai anugerah dibalik bencana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan