Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Sabtu, 31 Disember 2011

Malam Perpisahan

Lama rasanya saya meninggalkan ALAMMAYA ini. Sudah pasti 1001 cerita yang terbuku dalam jiwa ini untuk saya kongsikan bersama kalian semua. Tambahan lagi dengan tarikh keramat ini, 31 Disember 2011. Namun inilah yang dipanggil kehidupan. Setiap yang datang pasti akan pergi.

Pasti ada yang tidak mahu meninggalkan 2011 tapi berlainan pula bagi saya. Saya mahu cepat-cepat meninggalkan tahun ini kerana ia cukup pedih bagi saya dan mungkin juga bagi keluarga saya. Kami menghadapi hari-hari yang sukar sejak 2009. Sebelum 2011 meninggalkan kita semua tepat jam 12.01 malam ini, saya ingin menutup tirai arkib 2011 ini dengan entri mengenai tahun yang paling meninggalkan kesan pada saya iaitu 2009.


Ayah, tiada apa yang lebih berharga dalam hidup ini selain memiliki ayah. Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini selain melihat ayah gembira. Kami bukan dari keluarga yang senang. Ayah saya tidak mempunyai harta yang bertimbun seperti bapa-bapa kalian tapi ayah kata, " Harta ayah adalah anak-anak ayah. Biar kita miskin harta asalkan kita kaya budi bahasa." Itulah yang saya pegang ke mana sahaja saya pergi.

Ayah saya adalah perangsang motivasi saya. Setiap kali saya melakukan sesuatu, saya pasti teringat peristiwa dimana ayah terpaksa dibedah dihari saya menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM pada tahun 2009. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bagaimana saya mahu mengambil peperiksaan disamping fikiran ini terus melayang memikirkan ayah yang sedang bertarung didalam dewan bedah. Namun nasib saya cukup bernasib baik dengan adanya arwah mama yang selalu disamping saya ketika susah dan senang. Mama membawa kami adik beradik ke hospital. Allah memang selalu menolong hambaNya didalam kesusahan. Saya sempat berjumpa ayah walaupun seketika. Hanya beberapa saat. Saya mengenggam tangan ayah dan nyatakan bahawa saya begitu sayangkan beliau dan para jururawat tidak mampu lagi menunggu adik beradik saya yang lain. Saat itu air mata saya sudah berderaian jatuh tanpa diminta. Berjam-jam kami menunggu didepan dewan bedah sambil berdoa supaya Allah menyelamatkan lelaki pertama dalam hidup saya itu. Walaupun doktor ada mengatakan agak sukar melakukannya kerana ayah menghadapi masalah pernafasan.

Saat yang dinanti-nantikan telah tiba dan pembedahan berjaya dilakukan namun perlu dimasukkan ke wad penjagaan rapi ( ICU ) untuk pemeriksaan lanjut. Ketika itu kami menjangkakan keadaan ayah seperti biasa namun bila saya dibenarkan masuk ke dalam, kaki ini longlai apabila melihat wayar-wayar yang disambung ke badan ayah begitu banyak. Ayah masih koma dan kami tidak boleh menjaganya. Air mata yang tadinya sudah kering, kembali semula melihat ayah yang dulunya sihat luaran yang selalu menghiburkan kami kini terlantar koma dengan bantuan wayar-wayar yang kami sendiri tidak tahu kegunaannya.

Berhari-hari kami menunggu ayah sedar semula. Kami mahu melihat semula senyumannya. Cukuplah sekadar senyumannya kepada kami. Kami tidak minta lebih melainkan ayah mampu membuka mata semula dan tersenyum kepada kami. Anak mana yang tega melihat ayah kandungnya terlantar begitu? Hampir sebulan saya tidak ke sekolah hanya kerana mahu menunggu ayah kembali seperti dulu. Saya mengabaikan pelajaran dan masa depan saya hanya kerana itu dan ia sungguh berbaloi melihat senyuman kembali terukir di wajah ayah saya. Tiada yang lebih bermakna dari itu.

Sebulan selepas itu, mama pula meninggalkan kami. Mama pergi tanpa kami disisi. Mama pergi tanpa meninggalkan pesan kepada kami. Masih belum terbalas jasa mama pada kami semua. Mama yang mahu melihat saya berjaya, telah pergi buat selama-lamanya. Pemergian mama membuatkan kami sedar bahawa kami tidak boleh leka walau sesaat. Segala yang kita miliki sekarang tidak akan berpanjangan. Pemergian mama juga meninggalkan 1001 kesan mendalam dalam hidup kami adik beradik. Al- fatihah buat mama.

Ibu juga adalah wanita yang paling cekal pernah saya temui. Ibu sanggup lakukan apa sahaja untuk kami. Kadang kala ada juga rasa kami begitu menyusahkan ibu. Namun itu tidak pernah ibu rasakan terhadap kami. Apa yang kami pinta, pasti akan ibu penuhi. Hidup kami dah lengkap. Kami ada ibu dan ayah yang sentiasa bersama kami, yang sentiasa menerima buruk dan baik kami. Kami bersyukur mempunyai kedua-dua mereka. Semoga kebahagiaan ini berpanjangan sehingga ke tahun-tahun berikutnya. Amin...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan