Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Jumaat, 25 November 2011

Antara Cinta dan Maruah

Bukan mudah untuk memaksa diri melakukan sesuatu yang sukar kan? Begitu juga sukarnya untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang kan? Walau sekuat mana pun 'habuan' yang diberikan olehnya, namun jika hati masih belum menerimanya, apa yang boleh kita lakukan lagi kan? Biar pun setelah bertahun-tahun lamanya, jika hati masih sayang, tak semudah kita mengerlipkan mata ia akan hilang. Semuanya telah tertulis. Siapa kita, dimana kita akan berada. Setiap permasalahan itu akan diberikan 2 jalan pernyelesaian. Jalan A atau jalan B. Ingatlah, setiap jalan itu mempunyai baik dan buruknya yang tersendiri.

Dan saya memilih jalan saya yang tersendiri. Walaupun ramai juga yang mempertikaikan pilihan saya ini. Saya memilih jalan ini dengan kehendak saya sendiri. Tanpa dipengaruhi oleh sesiapa pun. Saya membiarkan mulut-mulut yang tidak tahu tertutup itu untuk terus mengkritik saya kerana saya tahu ini yang terbaik untuk saya. Mungkin ini yang perlu saya hadapi dengan memilih jalan ini. Namun apa akan berlaku jika saya memilih jalan yang satu lagi?

Saya pinta pendapat anda. Jika anda mempunyai seorang yang paling anda sayang dan anda memang rapat dengannya sewaktu kecil lagi dan tanpa diduga satu peristiwa yang melibatkan maruah keluarga dibangkitkan. Anda terlalu berkecil hati dan ia sampai ke pengetahuan keluarga anda sehingga menyebabkan ibu anda menitiskan air mata. Anda memilih siapa? Keluarga atau seseorang yang telah melukakan hati keluarga anda itu? Seseorang itu adalah insan yang paling anda hormati, sayangi dan dia terlalu istimewa dalam hidup anda. Ia adalah satu perasaan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak. Percayalah, saya tidak mampu menanggung perasaan ini seorang diri.

Bulan berganti bulan dan anda masih tidak bersapa dengannya. Peristiwa itu begitu terkesan dalam hidup anda. Lalu timbul satu perasaan rindu dalam diri anda untuk melihat wajahnya, melihat senyumannya, mendengar suaranya, bersapa dengannya dan anda ingin sekali mendakap tubuhnya. Namun ego menguasai diri masing-masing. Seseorang itu juga tidak pernah untuk cuba bersapa dengan anda. Walaupun sudah beberapa kali anda menemuinya dalam majlis, seseorang itu masih cuba menjauhkan diri dari anda. Dan setiap kali itulah perasaan rindu itu timbul. Namun apabila anda mendekatinya untuk memulakan langkah pertama, imbauan tentang peristiwa itu muncul kembali dan langkah anda terhenti.

Jika dulu, setiap kali cuti sekolah, anda akan ke tempat seseorang itu merantau kerana anda cukup memahami bidang kerjanya. Walaupun dia masih belum bercuti, namun anda dan si dia masih boleh meluangkan masa bersama. Setiap hujung tahun, pasti ada kenangan yang akan terlakar dalam diari hidup anda dan si dia. Sehinggakan pada satu hari, anda terdengar si dia berbual dengan teman lelakinya bahawa anda adalah insan yang paling penting dalam hidupnya selepas keluarga kandungnya sendiri. Barulah diikuti teman lelakinya. Apa perasaan anda ketika itu apabila mengetahui anda adalah insan paling penting dalam hidup seseorang? Terharu yang tidak terhingga sehingga menitisnya air mata kegembiraan. Namun setelah peristiwa itu berlaku, anda adalah insan yang paling jauh dengannya.

Anda diberi dua pilihan. Samada untuk terus berdiam diri membiarkan diri anda dan dia dalam keadaan begini atau merendahkan ego anda dan berdakap dengannya seperti selalu. Namun anda perlu menanggung risiko bahawa anda akan dicaci kerana memilih perasaan rindu anda berbanding maruah keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan