Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Jumaat, 26 Ogos 2011

Semakin dihitung semakin sayu

Sayu rasa hati bila saya baca semula pesanan-pesanan ringkas si dia dulu. Terlalu indah untuk diingat kembali. Segala harapan dan impian kami bersama hanya tinggal kenangan kini. Terbit sedikit kesal kerana tidak merakam segala perbualan kami dulu. Sekurang-kurangnya saya dapat melepaskan rindu apabila mendengar suaranya. Namun, benarlah kata orang. Ajal dan maut ditangan Tuhan. Tiada siapa yang menduga kesudahan kisah kami ini. Bahagia yang diharapkan hingga ke akhirnya, dugaan pula yang menimpa.

Tiada siapa yang tahu bagaimana saya menanggung perit dan pedih ini. Dulu, saya adalah tempat kawan-kawan meluah perasaan. Namun setelah semua ini berlaku, saya pula ibarat mati akal. Kadang kala putus asa.

Bagi saya dialah yang terbaik. Dia memahami. Dia tahu bila perlu dia muncul dan dia tahu bila saya perlu bersendirian. Apabila saya hanya menghantar pesanan ringkas mengatakan saya kesal dengan sikap seseorang, terus sahaja dia menelefon kerana dia tahu saya perlukan tempat untuk meluah. Tidak hanya dengan berbalas pesanan. Dia adalah penbimbing yang baik. Dia mengajar saya banyak perkara. Kadang kala kita tidak sedar bahawa apa yang kita lakukan itu akan menyakitkan hati seseorang. Pada pandangan kita, apa yang dilakukan itu yang terbaik untuk menyedarkan seseorang atau dengan niat bergurau. Tetapi si dia sering mengingatkan saya atas setiap buruk dan baik tindakan saya. Pernah satu ketika, saya tidak pulang ke kampung kerana saya terasa hati dengan seseorang di kampung. Si dia berulang kali memujuk saya untuk pulang kerana mereka adalah darah daging saya. Si dia tidak mahu saya menjadi bahan bualan orang kampung apabila melihat ketidakhadiran saya.

Umat Islam seluruh dunia kini hanya menghitung hari menunggu jelmanya hari kemenangan. Bagai seluruh dunia berpesta. Persiapan saya? Setiap kali ke pusat membeli belah, pasti ingatan saya pada si dia yang 'jauh' nun disana. Persiapan raya kali ini sederhana saja. Bukan tiada perasaan teruja tetapi masih sedih atas kehilangan si dia.

Buat kawan-kawan semua, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin dari saya dan juga pihak si dia andai saat kami berbual atau ada tindakan kami yang tidak senang dihati kalian. Kami juga manusia biasa yang tidak lari dari kekhilafan. InsyaAllah kita akan bertemu lagi andai ada nafas. Semoga Syawal kali ini memberi 1001 kebahagiaan dan rahmat pada kalian. Dan doakan juga segala yang berlaku pada saya ini tidak berpanjangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan