Isi Hati Seorang Gadis Biasa

Isnin, 20 Jun 2011

Permulaan Hidup yang Baru

Alhamdulillah... Tuhan masih memberi saya kesempatan untuk meneruskan hidup pada hari ini. Setelah apa yang terjadi kebelakangan ini, saya lebih menghargai hidup. Cuma kadang kala perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, saya mudah mengalirkan air mata. Hati dan jiwa ini menjadi sehalusnya.

Kadang kadang terasa kekok apabila tiada panggilan telefon darinya. Tiada SMS darinya. Tiada kejutan darinya. Tiada lagi suara dia membacakan doa panjangkan jodoh. Hahaa.. Memang kelakar. Tapi itulah yang terjadi. Kalau dulu arwah akan membacakan doa tersebut supaya jodoh kami berpanjangan. Segala kejutan yang dilakukannya sebelum ini menjadi kerinduan kini. Kalau dulu, terasa menyampah juga bila dia rahsiakan sesuatu. Tapi senyuman akan kembali terpaut dibibir ini apabila segala kejutan itu terungkai.

Tapi semakin jauh dia pergi meninggalkan diri ini, semakin menebal rindu ini. Setelah berpuluh email saya layangkan pada yang lebih arif tentang masalah ini, akhirnya salah satu darinya terbalas juga. " Kamu kena redha, nak. Kamu kena relakan pemergiannya. Ini juga salah satu faktor mengapa kamu sering dihantui bayangan arwah."

Benar! Mungkin kalian lihat saya masih mampu tersenyum. Tapi jauh dalam sudut hati ini masih belum mampu menerima hakikat tersebut. Pemergian secara mengejut ini membuatkan saya rasakan seperti arwah bukan meninggalkan saya tetapi arwah hanya berkursus. Jika dulu, arwah selalu pergi kursus dalam jangka waktu yang lama. Paling lama arwah pergi dalam masa sebulan di Kedah. Hubungan kami terputus selama beliau menjalani kursus tersebut. Sama seperti sekarang. Tiada panggilan telefon, tiada SMS. Tapi arwah akan cuba sedaya upaya untuk menelefon sekurang-kurangnya sekali seminggu. Tapi kali ini arwah langsung tidak dapat melakukannya.

Mungkin jika arwah ada lagi sekarang, kami sedang menghabiskan masa bersama-sama sebelum saya balik Kuantan bagi meneruskan pengajian saya. Memang itulah yang kami rancang dulu. Tapi bak kata manusia, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

Buat pertama kalinya saya menulis tanpa setitik air mata. Pasti arwah sudah boleh tersenyum melihat perubahan diri ini. Sayang, saya relakan awak pergi. Doa saya sentiasa mengiringi awak. Biarkan saya setia dengan cinta ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan